iklan

Kelebihan Berat Badan

Kelebihan Berat Badan lebih dari 90kg? Jika jawapan anda ya, anda juga seperti saya beberapa tahun lalu.  Pada tahun 2017, berat saya ketika ditimbang di Klinik Kesihatan S ialah 90 kg.  Tetapi jujur, tubuh saya paling berat pernah mencecah 98 kg.  98 kg???

Ya, berat badan 98 kg itu sekitar tahun 2010 ke 2013.  Berat saya mulai menurun ketika mengandung anak yang pertama dan selepas melahirkan anak, berat saya turun sehingga 78 kg.  Terasa ringan sekali ketika itu walaupun berat ideal saya sepatutnya sekitar 65kg, mungkin kerana sudah terbiasa dengan tubuh yang berat.  Tapi, apakan daya, saya sememang penggemar tegar makanan, 3 tahun selepas melahirkan anak, berat saya mencecah 90 kg kembali.

Saya bukan seorang yang aktif, seringkali kerja membuat saya duduk dengan kadar waktu yang agak lama.  Senaman boleh dikatakan sekali sekala, melakukan aktiviti berjalan yang banyaknya di kompleks membeli-belah walaupun jarang sekali membeli. 

Sejak awal perkahwinan telah didiagnos saya ada Sindrom Ovari Polisitik atau Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS) yang melibatkan gangguan hormon tubuh.  PCOS menyebabkan kesukaran mengandung, pertambahan berat badan secara mendadak, stress dan mempercepatkan kedatangan sakit-sakit kronik yang lain.

Walaupun dengan amaran daripada doktor ketika itu, saya agak tidak mengendahkan kesihatan diri sehingga benar-benar menghidapi diabetes jenis II pada tahun 2011.  Sudah didiagnos juga saya tidak benar-benar menuruti pantang larang bagi seorang pesakit diabetes, tetap menikmati makanan berkarbohidrat tinggi dan minuman yang manis-manis dengan kuantiti yang banyak.

Sehinggalah, saya mengandungkan anak yang pertama yang dinanti sekian lama.

Mengandung dan menghidap diabetes, sememangnya terasa agak sukar.  Tekanan juga tinggi kerana inilah pertama kali saya mengandung selepas 9 tahun bernikah. Penggunaan ubat-ubatan yang dipreskripsi doktor ketika itu berjaya mengawal paras glukosa dan menurunkan berat badan saya (walaupun ketika mengandung).  Saya juga amat menjaga pemakanan dan turut melakukan senaman ringan semata-mata mahu mengekalkan paras glukosa darah yang stabil.  Rezeki saya, anak saya sihat semasa dilahirkan.  Syukur. 

Selepas melahirkan, ajaibnya diabetes saya juga turut hilang.  Doktor berpendapat saya hanya mempunyai diabetes gestasi atau Gestational Diabetes Mellitus (GDM) iaitu sejenis diabetes yang dihidapi oleh wanita semasa mengandung. Penyakit ini disebabkan oleh tubuh mempunyai paras glukosa yang tinggi dan akan kembali ke paras normal selepas bersalin. Dalam hati saya sedikit gusar kerana saya tahu saya pernah didiagnos diabetes sejak 2011, namun saat itu tetap menerima berita ajaib itu penuh kegembiraan.

Kelebihan Berat Badan

Doktor menasihatkan saya memeriksa kadar glukosa dalam darah saya sekurang-kurangnya sekali setiap tahun, menjaga pemakanan dan bersenam secara rutin.  3 tahun tanpa diabetes, saya mula bebas makan dan minum tanpa menghiraukan gula-gula yang ada dalam makanan saya.  Saya ini memang jenis suka makan nasi dan suka minuman teh tarik.  Satu kombinasi yang memang mengundang penyakit.  Tambahan pula, saya hidup dengan gaya sedentari, jarang-jarang sekali bersenam. 

Pasti setiap tindakan ada konsekuensinya.

Tahun 2017, selepas pemeriksaan kesihatan, kadar bacaan HbA1c saya sekitar 10.0 mmol/L.  Pernah sekali kadar glukosa dalam darah mencecah 21.3 mmol/L, terus diberi suntikan insulin jenis Actrapid di unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur.  Ingat lagi, ketika itu aku memberi alasan baru sahaja lepas makan. 

“Jika ya pun lepas makan, takkan sehingga 21, tinggi ni”, doktor itu menekankan kepada saya kadar glukosa selepas makan sepatutnya tidak setinggi itu. 

Saya hanya mampu tersengih dan mengangguk-angguk kepala.

Tahun 2017 saya kembali menerima rawatan diabetes dan juga mempunyai masalah beberapa ketulan di payudara.  Saya amat kecewa dengan diri saya ketika itu, walaupun sudah tahu risiko kesihatan saya tinggi tapi tetap tidak mengambil sebarang tindakan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif.  Hal yang saya takuti selama ini menjadi realiti. 

Tekad, saya mula bersenam.  Berat tubuh 90 kg ketika itu tidak memudahkan proses untuk kembali aktif.  Banyak jatuh bangun saya hadapi untuk kembali bersenam.  Semoga dalam artikel berikutnya saya berkesempatan berkongsi cara saya kembali bersenam dan aktif walaupun berat saya mencecah 90 kg.

Coretan 13 Oktober 2020.

Refleksi:  Aku tersenyum-senyum sendiri, memahami kenapa aku jatuh sakit sudah mencecah 4 tahun lamanya.  Inilah konsekuensi daripada tindakan-tindakan yang aku ambil selama ini.  Ahhh… layan aja ketawa ini. Ternyata “Writing Is Your Inner Growth”.

Namaste.

iklan
- Advertisement -spot_img
Seroja Biru
Seroja Biru
Minat menulis tapi lama memendam rasa. Suka berkongsi hal-hal kehidupan dengan gaya sederhana. Semoga coretan disini memberi manfaat kepada yang memerlukan.
iklan

Latest post

iklan
Register Jadi Penulis Klik Disinispot_img

Popular dalam 7 hari

iklan

Cerpen

Sang Bidadari

Akhir Cinta Ariska

Pupus Harapan

Bukan Cinta Biasa

[WPPV-TOTAL-VIEWS]

Related news

TINGGALKAN KOMENTAR

Silakan masukkan komentar anda!
Silakan masukkan nama Anda di sini